The Red Giants

EN
MY
Selangor FC
SELANGOR FC
BERITA

SUGARBOMB METRAI PERJANJIAN SEBAGAI WANGIAN RASMI SELANGOR 2020

Mar 05, 2020 - FAS

Jenama wangian tempatan, SugarBomb hari ini diumumkan sebagai wangian rasmi bagi skuad Red Giants untuk musim ini. 

Jenama tempatan yang dimiliki oleh syarikat korporat Infinite Opportunities Sdn Bhd ini telah diangkat menjadi sebuah rakan strategik Red Giants bagi musim 2020. 

Bermula sebagai jenama kecil pada Mac 2017, jenama SugarBomb kini telah berkembang pesat. Diuruskan oleh Infinite Opportunities Sdn Bhd, jenama ini kini mempunyai kilang wangian tersendiri di Setia Alam, Selangor untuk menghasilkan wangian berkualiti tinggi menggunakan bahan mentah yang diimport dari Switzerland. 

Kini, antara produk terlaris dari jenama ini termasuklah wangian untuk kereta dan rumah, selain wangian berkualiti tinggi dan halal untuk kegunaan harian bagi lelaki dan wanita. 

Kerjasama ini juga bakal memperlihatkan jenama SugarBomb bakal menghiasi bahagian belakang untuk kesemua jersi Selangor pada musim ini. 

Menurut Setiausaha Agung FAS, Dr. Johan Kamal Hamidon menyatakan kerjasama antara kedua-dua entiti ini penting ke arah penswastaan sepenuhnya kelab bola sepak yang berpangkalan di Lembah Kelang ini. 

“FA Selangor bersyukur dan berbangga dengan kerjasama ini. SugarBomb adalah sebuah syarikat yang berpangkalan di Selangor dan kerjasama untuk musim 2020 ini diharap dapat mendekatkan produk SugarBomb dengan penyokong Red Giants. Kami yakin kualiti tinggi yang dimiliki oleh wangian mereka mampu memberi kepuasan untuk penyokong Selangor yang membelinya pada harga mampu milik, ” tambah Johan. 

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Sugarbomb, Ahmad Azhari Rosli dipetik berkata, “SugarBomb sangat teruja dapat berkerjasama dengan FA Selangor, sebuah pasukan yang meraih pelbagai kejayaan dalam sejarah bola sepak di negara ini. Kami tidak sabar untuk menantikan komen-komen positif dari penyokong Red Giants yang akan mula mengenali dan menggunakan produk berkualiti tinggi dari kami kelak.” 

FA Selangor mengucapkan terima kasih kepada SugarBomb dan Infinite Opportunities Sdn Bhd atas kepercayaan yang diberikan untuk memajukan bola sepak negeri Selangor, selain mengharapkan agar lebih ramai badan korporat untuk bersama-sama mengembalikan zaman kegemilangan bola sepak Selangor.